
Latar belakang
Siti Aishah binti Nazmi merupakan seorang pelajar sekolah menengah yang menetap di Felda Lui Selatan. Beliau bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada bulan November kelak. Beliau seorang pelajar yang rajin dan bersemangat tinggi, namun menghadapi kekangan dalam mengakses pembelajaran digital kerana kurang kemahiran ICT dan capaian sumber pembelajaran dalam talian yang terhad.
Sebelum penggunaan ICT / penglibatan NADI
Sebelum terlibat dengan program NADI, Siti Aishah hanya bergantung kepada buku teks dan nota bertulis. Beliau tidak biasa menggunakan komputer riba atau sebarang aplikasi pembelajaran. Apabila sesi PdPR dijalankan, beliau sering ketinggalan kerana tidak tahu cara mengakses bahan pembelajaran digital dengan betul. Beliau juga tidak mempunyai peluang untuk mengikuti bimbingan secara dalam talian khususnya untuk subjek teras SPM.
Selepas penggunaan ICT/ penglibatan NADI
Selepas menyertai program NADI x Pembelajaran Sepanjang Hayat (DILEA) anjuran NADI Felda Lui Selatan, Siti Aishah mendapat banyak manfaat melalui kelas-kelas tuisyen yang dijalankan secara dalam talian. Melalui sesi pembelajaran menggunakan platform Google Meet, beliau mengikuti kelas tambahan bagi subjek teras seperti Matematik, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah.
Kelas secara atas talian ini memudahkannya untuk mengulang kaji pelajaran walaupun berada di rumah. Guru-guru yang mengendalikan kelas memberikan penerangan secara interaktif, dan beliau berpeluang bertanya soalan serta berlatih soalan latih tubi secara langsung. Program ini juga mengajar beliau untuk hadir kelas mengikut jadual, menyiapkan tugasan tepat pada masa, serta mengurus pembelajaran sendiri dengan lebih berdisiplin.
Kesannya, Siti Aishah menjadi lebih yakin dan menunjukkan peningkatan dalam pemahaman serta keputusan akademik. DILEA telah membuka peluang untuk beliau belajar secara lebih fleksibel dan berkesan.